Di bawah lindungan kaabah

Friday, April 25, 2008

Alhamdulillah..Ini adalah bait perkataan yang aku mahu harus lekat sentiasa di hujung bibir,di tubir hati. Gambaran suasana hati yang tertata elok, tak mesti di asbabkan dengan peristiwa-peristiwa manis yang menggemparkan, tapi cukup dengan bergesernya daun-daun kering diaspal jalan, putihnya kembang bunga dari pohon jati, yang semarak bersinar sewaktu-waktu matahari hangat tersenyum menyiram kosmos dengan sinar megahnya. Sekonyong juga Hamka menyapa, "bila mulutmu tertancap "Allah", sesungguhnya engkau telahpun sampai.."
Di suatu malam sewaktu aku masih kecil, Pa berkisah tentang seorang lelaki, yang mengadu nasib di Kaabah dek cintanya dengan manusia berdarjat; Zainab yang tak sampai. Akan hal Zainab, bukanlah dia orang yang sombong sehingga tak mahu berapat tumit dengan Hamid; anak angkat keluarganya, tapi keranalah cintanya dihijab oleh rasa malu yang dalam. Hamid adalah manusia yang selalu sedar diri, tahu dek diri di untung, maka cintanya itu diurung selalu rapat-rapat, hanya mengintai dari jauh bunga yang mengambang di hatinya itu,bersama harapan-harapan yang makin kecil.
Suatu hari pemuda itu dipanggil oleh keluarga besar itu. Ketika pintu rumah mewah itu diketuk, Zainablah yang berdiri di ambang pintu sambil melempar senyum hangat. Hamid tegang, tersesak nafasnya melihat cinta tersembunyi nya berdiri di hadapan, hampir dia terlupa dimana dia berpijak, dan serasanya semua mimpi yang pernah ia raut, bersatu detik itu. Lama mereka bertenung-tenung, mencari ayat terbaik, dan barangkali sambil mengharap akan pegunlah waktu barang sedetik itu.
"dinda Zainab, lama benar engkau tak kunjung datang, sudah lupakah engkau kepada abangmu?"
"Oh abang Hamid, justeru engkaulah yang lupa padaku,tak mahu mengunjung kami di sini. Apa hendak dikata, aku adalah perempuan yang tebal rasa malu, masakan aku yang datang kepadamu?"
Hanya sebaris itu dan pemuda itu terpujuk, mekar hatinya, lupalah ia barang sebentar akan dirinya,dan tiba-tiba dia merasa seluruh alam bersenandung 'jazakallah..jazakallah' kepadanya.
Tapi Hamid salah. Zainab rupanya telah dijodohkan, dan pemuda itu diminta datang untuk memperkenan jodoh buat dindanya. Zainab pucat, dan Hamid sendiri menangis dalam hati. Dan segeralah dia sedar di mana letak duduknya. Bahawa dia telah terlebih menyarung harap tak sesuai dengan baju di badan sendiri. Maka dengan suara mantap, dia restui jodoh Zainab, dan dia ikrar kejap-kejap dalam hati bahawa Zainab akan sentiasa kekal sebagai dindanya.Selamanya.
Ia sebuah nukilan kisah cinta yang bukan sembarang, dan pa bercerita tak habis menyapu air mata yang turun tertahan-tahan. Kata Pa, rupanya pemuda Hamid itu tak sekuat mana. Dia lari pergi jauh dari pengetahuan Zainab,jauh dari pengetahuan ibu bapa angkatnya..jauh di sana,merentas laut merah- memohon lindungan Kaabah.
Sabtu lepas, pa dan ibu berangkat. Berkunjung ke dunia dimana pemuda Hamid itu cuba bersembunyi dari cintanya. Hanya saja,pa datang bukan untuk bersembunyi tapi datang menyempurnakan cinta, menyahut pesan Tuhan dalam rukun terakhir, dan cuba-cuba menyusur bekas kaki Muhammad di pasir panas membahang sewaktu hijrah ke Madinah.
Zainab telah meninggal. Pergi sebagai dara suci, menolak untuk disentuh sesiapa sehinggalah ajal menjemputnya. Beberapa tahun setelah itu, Hamid menyusul. Dan begitulah pengakhiran kisah cinta suram ini...Labbaikallah..humma labbaik...
*kisah ini Pa petik dari buku "di Bawah Lindungan Kaabah",dan ini karyaku dalam sisa-sisa ingatan yang masih mekar dalam memori.
Read On 1 comments

Epistimologi Sophie

Friday, April 18, 2008

Kata Plato, "Pengetahuan adalah jambatan untuk memahami alam dan tuhan". Dia dan nama gahnya tidak pernah memancingku, tapi cinta-ilmu nya memikat sekali. Duniaku adalah dunia penyelidikan. Hujung daripada usaha ini, adalah pengenalan kepada teori-teori, disiplin ilmu yang baru. Daripada teori tadi, akan memunculkan pula cascade ilmu-ilmu lainnya dan begitulah lingkaran ilmu itu berulang-ulang tak mahu habis.
Ada tiga tujuan penyelidikan. 1)menyelesaikan masalah ilmu. 2)menyelesaikan masalah hidup. 3)menjana kelangsungan hidup. Ketiga-tiga misi ini, terangkum dalam satu perkara : Mencapai hikmah. Iya, kami mencari hikmah. Asal kata dari hukum, dan segala usaha itu adalah menjurus kepada pencarian hukum dalam satu-satu disiplin ilmu yang dikaji. Stem cell misalnya, kami cuba memahami sifat dan kapasitinya yang boleh digeneratif, keupayaan untuk memperbahurui (self-renewal) dan membahagi dengan kadar linear. Ini sangat indah tuan, sebab ia kemudiannya menjadi penyelesaikan kepada masalah hidup yang berlingkar dalam dunia homo sapien. Bayangkan anda boleh 'mencipta' organ daripada sel tadi, jantung misalnya. Masih ingat Tee Hui Yee,gadis kecil yang merayu-rayu minta didermakan jantung? Jantung bukan boleh dibeli di pasar lambak. Nah..orang serupa mereka barangkali boleh mula tersenyum-senyum kalau hukum ilmu ini berjaya dilangkaui.
Kami berseminar di UTM baru-baru ini. Pihak penganjur datang dari CEPP, mereka bercerita banyak tentang bioteknologi, tentang herba, masa depan penyelidik lokal, karenah bapak-bapak menteri yang tiada jiwa akademik, keluhan penyelidik yang selalu dicantas karyanya atas nama profit dan untung. ketiga-tiga matlamat tadi, saya kutip dari prof Roji, seorang professor 'beriman' yang sibuk mencanang idea nutrien bersyarat, halal wa tayyiba. Oh tuan, indah sekali apabila sains diwacanakan oleh muslim-mukmin.
Pernah saya berbisik dengan seorang teman akan cita-cita besarku, mengsinkronikan sains dan agama. Sudah lama saya ingin jerit lantang-lantang, bahawa sains adalah juga bahagian agama, membezakan perkataan sains daripada agama adalah suatu bentuk kezaliman, SEKULARISM halus dari puak agamawan. Ada bidang sains, ada pula bidang agama.Itu apa?Bukan sekularism kah namanya? Temanku yang menarik,si Kurniawan biru yang suka ketawa 'ha ha ha' itu menjawab santai "Itu maa, produk sejarah abad 18-19 Eropah. Jangan marah, bacalah novel karya Ibn Thufail "Hayy Ibnu Yaqzhan". Dan dia ketawa lagi.
Apapun disiplin ilmu, saya akan manut dengan tradisi ilmu Plato. Tuan tahu maksud Sophie?itu asal kata dari Greek,maksudnya kebijaksanaan (wisdom). Gnosis juga dari Greek, maknanya ilmu. Kata Siddharta-ilmu boleh digali, tapi kebijaksanaan dikutip dari perjalanan ilmu tadi dalam hidup. Ia, seperti kata Ghazali, ketibaan sesuatu makna ke dalam hati. Diakhir semua kebijaksanaan itu, dan tentu saja bahagian paling menarik dari seluruh perjalanan ilmu, apabila ia memunculkan suatu entiti agung, itulah keTUHANan.Tidak heran kalau aku jadi terdiam bila Jimadie kata kepadaku "Tinggallah Tuhan saja yang suci". Dan Tuan ya, bukan mahu riak,tapi retorikku ini dikongsi juga oleh motto Universiti Oxford dengan bau yang sama-"Dominus Illuminatio Mea" Tuhan adalah cahayaku!
Read On 4 comments

Ninja King 24 injap

Friday, April 11, 2008
si-Ninja King
Siri pengajian ku dengan rakan-rakan perbandingan agama adalah suatu perjalanan ilmu yang hidup, haus dan merangsang. Kami belajar melihat sesuatu tidak saja dari dimensi relijius kami; seorang muslim yang mewarisi islam sejak lahir, tetapi juga cuba memerhatikan ke dalam dengan meminjam sudut pandang penganut agama lain.
Duduk dalam suasana ilmu sebegitu, berfikir kritis, bertikam lidah tanpa perlu beremosi, menghambur-hambur idea; semuanya mengekstasikan dan rasa-rasanya termometer ke'geniusan'ku meningkat beberapa darjah dari biasa. Kelas kami di mana-mana, kadang di Setiawangsa,kadang di UIA,kadang di UM, kadang di rumah xifu. Dan kebiasaannya seusai kelas, kami dilanda keterujaan yang gila, bertabiat seperti anak kecil yang baru belajar pegang pensil, menconteng buku-buku, dinding-dinding rumah dengan origami aneh; semuanya berebut-rebut dengan tidak sabar untuk sesi praktikal. Lalu dengan semangat Ninja King 24 injap, kami berpencar mencari 'mangsa' dakwah.
Mangsa pertamaku dulu adalah seorang Nigerian, yang kulitnya lebih sedikit cerah dari buntut kuali. Sehitam-hitam pun, dia masih sangat berdarjat dengan title Doctor perubatannya, yang sewaktu-waktu dialog kami berlangsung, beliau sedang dalam pengajian master bahagian Patologi di Universiti Malaya.
"Sir, bagaimana menurutmu agama kristian itu?"
(Kata xifu: Benarkan dia bercakap lebih, banyakkan mendengar tapi biar tetap mendominasi)
"Dalam dunia ini,yang terpenting sekali adalah cinta. Agama Kristian adalah agama kasih sayang. Macam kata Jesus my lord: "Love ur neighbours as u love urself "
"Ohh..kasih sayang saja sudah cukup?Bible itu isinya tentang kasih sayang saja ya?"
(kata Xifu, memancing dengan umpan yang tepat, kemas dan mengikat)
"Oh yes!Kasih sayang inti semua hal. Kau lihat dunia ini, hampir musnah sebab manusia sudah jauh dari agama, miskin kasih sayang. Agamamu bukankah pasal kasih sayang juga?"
"Bagi kami sir,islam adalah suatu perjalanan hidup, petanya alquran. Ia tidak sepotong-sepotong, dan kasih sayang merupakan satu potongan daripada islam."
(Kata Xifu: the more they talk,the more they reveal themselves!)
"Oh really? (tersenyum sinis) Lalu cuba bagi tahu aku kenapa dalam dunia ini, islam lah agama yang paling barbarik sekali?Kenapa pengganas kebanyakannya dari kalangan muslim?Lihat agamamu, penuh dengan kebencian, fanatik, dan gila. Itulah,kecil-kecil dulu tidak dibaptis, sifat haiwan masih ada dalam diri. Mereka ancam Amerika, mereka bina loji nuklear-kau tahu untuk apa?tidak lain untuk memusnahkan bumi, membunuh yahudi, dan mereka tidak akan berhenti selagi non-muslim wujud di dunia ini! Lihat di Baghdad perang sunni-syiah nya, Afghanistan dan Taliban yang ekstrimis, lihat keretapi di London yang di bom oleh alQaeda atas nama jihad. Ini semua gila!agama apa yang merangsang kekejaman seperti itu?"
Aku ternganga, dan barangkali teruja dengan reaksi ku,dia menyambung dengan nada suara yang sengaja diperlahankan,
"Kau tahu, di KL ini pun ada terrorist. Di Sabah,ada rekrut Jemaah Islam sedang dalam pelatihan malah aku pernah dengar Puduraya diancam serangan bom tempohari!"
Dengan mulut yang masih ternganga, aku kedip-kedip mata sepetku. Tuan, Ini kegilaan kategori apa ya?
Seperkara yang kami pegang kukuh, adalah kenyataan bahawa mereka-non muslim itu sebahagiannya adalah 'orang-orang yang tidak mengerti' -seperti yang tercatat dalam al-Quran, yang mengenal islam hanya dari media massa-dari serangan berani mati di Pakistan, penyembelihan sadis tebusan Korea, mengatur-ngatur sendiri kesimpulan dibalik runtuhan WTC, dan seribu satu mcm contoh lain. Maka kami selalu buang jauh-jauh rasa galau dalam hati, kalau kadang mereka menjerat kami dengan bahasa-bahasa yang tidak enak di dengar, dan kadang bikin kami tidak tidur malam buat research dan homework menghadap orang-orang seperti itu.
Marilah kawan. Islah dengan muslim, dakwah dengan non-muslim. Kita cinta Kristian, selagi mereka tidak 'kafir' dan kekal sebagai orang-orang yang tak tahu. Nanti kalau DIA tanya, "sudah kau apakan ilmu mu?"..tangan dan kaki kita bolehlah berebut-rebut bersaksi dengan semangat yang sama, Ninja King 24 injap!

Read On 11 comments

"I take no order"

Thursday, April 10, 2008
Pengakuan jujur tidak semestinya polisi yang terbaik. Ia kadang menyeramkan, bikin bintat-bintat di hati, dan buat rasa jiwa aneh sekali. Sebulan lalu, ketika aku berura-ura mahu pindah rumah, roommate ku tarik muncung panjang. Lalu ayat klise meluncur laju dari bibir comelnya, "Dah tak sayang kat I?". Biasanya aku akan pasang muka datar tanpa emosi, tidak berperasaan, ataupun buat-buat tidak dengar.
Sebenarnya dia gadis yang baik, punya kekasih di Pahang, comel dan sangat prihatin hal ehwal aku. Hampir setiap hari dia memesan balik awal, dan setiap hari juga aku ingkar. Kebiasaannya,kalau dia membebel, aku katakan pada dia "Sorry mem,i take no order".Muncungnya memanjang lagi, lalu ayat sumpahan itupun berulang muncul, "U memang dah tak sayang I".
2,3 hari kebelakangan ini dia sibuk dengan kempen mengajakku tinggal tetap di rumah itu. Kontrak kerjaku habis 3 bulan akan datang, bererti bulan julai nanti,aku akan pindah rumah. Dia, roommate ku itu semenjak mac lagi sudah 'kerja keras' memujukku. Siri pujukannya termasuklah 'merasuah' aku dengan roti Boy dari KLCC, yang aku tahu untuk sebutir roti istimewa itu, dia harus berbaris panjang depan kedai.
Kata-katanya yang terakhir kali buat aku seram sejuk. "Darling,I suka U.please, I tak mau roommate lain."..urfff..Handsomekah aku?
Read On 0 comments

Fitna

Friday, April 04, 2008
"Dah tengok Fitna?"
"err..masih fikir-fikir,nak tengok ke tak"
"kau tak jadi kapir kalau tengok filem bodoh tu"
"bukan..aku boleh jadi kapir kalau sedang emosi"
Dia- Jimadie ketawa besar; mencabar dan menantang rasa inkuiri ku. Ia, aku masih senang di usik emosi terutama hal-hal relijius seperti ini. Bila emosi ku terpancing,aku boleh diserang insomnia kronik, otak ku tegang, bekerja tak mahu henti. Tapi tawa Jimadie menggamitku lebih hebat, seperti syaitan putih yang terkenal licik dan tak kenal lelah, menggoda, membujuk manusia supaya sama-sama mahu digiring ke neraka wail, tawa itu auranya serupa macam si putih itu. Lalu filem 15 minit dari Belanda itu aku tonton juga separuh hati.
Alquran, oleh Geert Wilders(dan syaitan-syaitan berwajah manis lain serupa dia)-dilihat sebagai waham mempromosi keganasan. Ohh..memang sudah dijangkakan,aku nasihatkan hati ku baik-baik supaya tidak beremosi jauh. Mari tuan ya, daku senaraikan ayat-ayat quran yang telah beliau eksploitasi, manipulasi, mengobrak-abrikkan maksud dengan mengabaikan konteks ayat diturunkan.
1)Surah anfal ayat 60: "Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang(yang dengan persiapan itu) kamu menggetarkan musuh Allah,musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya."
Latar cerita dimulai dengan kisah 9/11, Geert membeli simpati penonton dengan jerit pekik rakyat Amerika bertarung nasib di bangunan yang sudah sobek kemegahannya itu.
2)surah an-Nisa' ayat 56: "Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat kami, kelak akan Kami masukkan mereka ke dalam neraka.Setiap kali kulit mereka hangus,Kami ganti kulit mereka dengan kulit yang lain, supaya merasakan azab.."
Berhubung ayat tadi, propaganda Wilders bersambung dengan khutbah jumaat seorang imam di Iraq, bersuara lantang mengancam memancung kepala Yahudi munafiq yang bersembunyi dikalangan muslim, oleh beliau dihunusnya pedang tinggi-tinggi, dan sidang jemaah yang terpukau dengan semangat sang imam, mengguyur sambut dengan gema "Allahuakbar!". Ada pula gadis kecil bertudung litup, Basmallah namanya, yang oleh Wilders dan konconya, dipancing-pancing gadis kecil itu supaya bersuara menyatakan pendapatnya tentang Yahudi. "Serupa monyet dan babi"- Basmallah,yang belum kenal erti propaganda menjawab dengan wajah suci.
3)Surah Muhammad ayat 4: "Apabila kamu bertemu mereka maka pancunglah batang leher mereka. Sehingga apabila kamu telah mengalahkan mereka maka tawanlah mereka" - (ayat ini masih berantai panjang, tapi disembunyikan dalam filem Fitna)
Mereka petik ucapan Mohammad Bouyeri dan sumpahnya dari celah jeriji penjara; untuk mengulang 'buah tangannya' ke atas Wilders seperti pembunuhan yang beliau lakukan kepada Theo Van Gogh, seorang pengarah filem yang juga pengkritik islam yang gencar di negara Dutch itu menerusi buku dan filem-filemnya. Belum pun habis penonton beremosi dengan suara serak penuh keyakinan Mohammed B. itu,sekali lagi emosi mereka digodam menerusi video penyembelihan tebusan oleh Taliban di Afghanistan.
4)surah Nisa ayat 89 (ditulis dengan ayat penuh dalam filem ini): "Mereka ingin supaya kamu menjadi kafir sebagaimana mereka telah menjadi kafir,lalu kamu menjadi sama (dengan mereka). Maka janganlah kamu jadikanmereka penolong-penolong mu hingga mereka berhijrah pada jalan Allah. Maka jika berpaling, TAWAN dan BUNUHlah mereka dimana saja kamu menemuinya, dan janganlah kamu ambil seorangpun diantara mereka menjadi pelindung,dan jangan pula menjadi penolong"..ayat ini disusuli dengan khutbah lantang di negara-negara arab, akan sesiapa yang murtad; layaklah dia dibunuh. Ia bersambung dengan deretan akhbar- darah Salman Rushdie (dan Satanic Verse-nya) yang diisytihar halal, ancaman keatas Ayaan Hirsi Ali; murai celupar yang melabel islam sebagai jelmaan Nazi dan keratan akhbar-propaganda lain.
Tuan,izinkan aku bersuara keras sedikit menantang Wilders,bahawa apa yang beliau tulis tidak lebih dari provokasi kelas rendah, berat sebelah, dan langsung tiada seni.
Mari belek kitab. Surah anfal ayat 61, berkait dari ayat 60 sebelumnya, Tuhan dengan segala rahman rahimnya bertitah "dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka CONDONGLAH kepadanya dan bertawakallah kepada Allah.."Sayang sekali, fakta ini dihapus dalam Fitna. Pengecut bukan?
Lihat pula surah Nisa ayat 55 yang berkait dengan ayat 56: "..dan diantara mereka ada orang-orang yang beriman kepadanya (Muhammad-sbg rasul), dan ada diantara mereka orang-orang yang menghalangi (manusia) beriman kepadanya (Muhammad)..". Mereka ini yang disebut dalam surah nisa ayat 56 tadi, adalah kuffar yang sekejam Musyriq Mekah menyula perempuan Sumaiyah dihadapan Amar,buah hati pengeran jantungnya, menindih Bilal dengan batu besar sampai tercungap melafaz "ahad", melapah hati Hamzah dengan kebencian yang sarat-mereka inilah yang kelak Tuhanku akan ganti kulit-kulitnya dengan yang baru tiap kali hangus rentung dimakan neraka jahannam. Wajar-wajar saja!
47:4 - Penyelewengan Wilders paling ketara dalam penjelasan ayat ini. Sesungguhnya seluruh ayat ini adalah merujuk kepada peristiwa yang berlaku di medan perang, yang tuan-tuan tahu juga, kalau bukan tuan yang membunuh, tuan di bunuh. Dan lagi,hey- pancung adalah kaedah kematian yang paling singkat, paling tidak menyakitkan. Renung-renunglah kembali entri berkenaan otak karanganku. Wilders dengan sengaja mem'paste' kan sebahagian perkataan, dan memotong sebahagian lain dalam ayat yang sama. Perkataan " ..dan sesudah itu kamu boleh membebaskan mereka atau menerima tebusan sehingga perang berhenti.."(dalam ayat yang sama) tidak beliau sertakan. Urff..tipikal orientalis-pengecut, pondan dan munafiq.
Seterusnya surah Nisa ayat 89 yang kelihatan berbau ekstrimis dan prejudis. Padahal ayat ini turun adalah dasar permulaan kepada hukum suaka, yang daku percaya Eropah zaman barbarik sendiri tidak pernah kenal dasar ini. Memadai kalau aku beri ayat seterusnya ayat 90 dalam surah ini, "KECUALI orang-orang yang meminta perlindungan kepada sesuatu kaum, yang antara kamu dan kaum itu telah ada perdamaian,atau orang yang datang kepadamu sedang hati mereka merasa keberatan untuk memerangi kamu dan memerangi kaumnya"..Fikirlah sendiri.
Lihatlah tuan, agamaku dibikin senda gurau begini. Denmark dengan karikatur Muhammad berserban bom, alQuran yang oleh Geert Wilders sebagai picu mempromosi keganasan, Robert Spencer yang sibuk mendoktrin rakyat negaranya membenci muslim. Apa lagi yang kalian tinggalkan buat kami hah?!
Benar,muslim ada yang ekstrimis. Tapi apa bezanya dalam lipatan sejarah agama-agama lain? Bukalah Homisid Library, kes pembunuhan kanak-kanak kulit hitam di Atlanta 1970an, Daviz Berkowitz yang terang-terangan mengancam bandar New York dengan pembunuhan bersirinya, Dennis Rider yang terkenal dengan BTK trade mark (Bind, Torture, Kill), Ted Bundy-pelajar kacak, mahasiswa undang-undang dan terhormat; membunuh lebih sedozen gadis-gadis kolej semata kerana kecewa berpisah dengan bekas kekasih, dan seribu satu macam spesies ekstrimis lagi melata di bumi ini. Lalu kenapa islam tuan?
Yang kuat bergendang dicuping hati adalah rasa cinta kepada islam yang tak tertolok banding. Kalian tak perlu fikir berat-berat mahu ubah dunia, intai dulu diri tuan. Tuhan tak tuntut happy ending story, tapi Tuhan suruh kita berlakon elok-elok, taat kepada Pengarah dewata alam raya,Tuhan yang satu-satunya daku letak seluruh pertuanan.
Untuk Engkau Cintaku, "Maaf ya. Kami masih nakal di sini, merasa tahu lebih dan sombong dengan ilmu-ilmu yang sedikit Kamu titipkan buat kami. Terus-teruslah pandang kami dengan sinar mataMu yang hangat dan saksama, sebab tiadalah kami tanpa sinar itu!"

Read On 7 comments