Brunei, aku datang!

Tuesday, November 04, 2008




Sudah lama saya berhenti mempercayai angin. Tidak setelah sepotong hadis di awal sahih Muslim menasihati saya begini “Cukuplah seorang itu dianggap berdusta apabila bercerita setiap apa yang didengarnya.”

Dua, kerana saya khuatir terjerumus ke alam sangka-sangka.

Tetapi ketika saya terlontar di Brunei baru-baru ini, dan tahu-tahu sedang berdiri di depan sebuah istana aristokrat, yang dingin, sombong dan tak peduli, bersemayam bersama deretan rumah kuno yang tak terbandingkan di sekitar kawasan istana, dengan penjaga gerbang berwajah garang- siap untuk bersikap panglima, saya tahu angin bercerita jujur kali ini.
Tuan, baru kali ini saya menjadi saksi sebuah kemewahan.

Luasnya barangkali sepertiga kampungku nun di pedalaman Keningau. Bilik rehatnya menjejak ribuan, kamar mandinya ada ratusan, dan lamannya dihias dengan ratusan kereta mewah, sebutlah apa saja, dari Rolls Royce, Bentley, Mercedez Benz, Jaguar, Porsches, ..termasuk lah Bugatti impian kecil Daru Kurniawan ku. Dan ya Tuhan, ini cuma limpahan kecil dari nikmat yang membuak dalam negara ini.
Sayang sekali, saya tak minat dengan tokoh yang disembunyikan dalam istana itu. Dia yang meminjam raut Saddam Hussein tapi dengan peribadi yang sangat eksklusif, tubuh berciri khas Asia tapi punya selera tak kalah jauh dengan si hidung tinggi Mat Saleh. Dia, Hassanal Bolkiah-ketika kami kunjungi negaranya adalah manusia yang tak banyak beza dengan rangkaian kisah yang terpapar dalam wikipedia.
Negaranya kecil, bahkan sangat kecil seakan Kota Kinabalu yang telah dipotong sebahagian petanya; di bahagian Telipok, di bahagian Penampang, di bahagian Lok Kawi. Pun begitu, ia bukan alasan untuk aku menolak beramah-ramah di negara ini.
Bandar Seri Begawan punya sihir-sihir yang tersendiri. Menginjak tanah di sini, sama sejuknya seperti ketika tuan jalan-jalan di Kota Bharu, dan digoda nasi kerabu Tanah Merah. Ruang islamisasi mendorong setiap inci papan tulis di kedai-kedai, pasaraya, di penanda-penanda jalan bertulis dengan huruf jawi. Negara ini mewah sekali tuan. Rakyat dimanjai dengan subsidi. Dari minyak mentah, keperluan asas, kemudahan perubatan; saya melihat bekas tangan sosiologi yang teratur. Untuk seketika, orang-orang kecil seperti ku yang rajin menangguk subsidi ilmu senang dengan satu hal di sini, akses pendidikan diberikan percuma seperti halnya Jerman, Vietnam, Laos, Cuba dan komuniti Komunis lainnya.
Seperkara yang aneh, saya sulit untuk mencari wajah-wajah peribumi di sini. Merayap di Jerudong taman tema di sebelah tenggara itu, rasa-rasanya macam berjalan di Pasar Seni hari minggu. Kotaraya nya penuh dengan susuk kekar berkulit gelap dengan rambut grebo-grebo dan loghat pekat khas dari Tanah Jawa. Kasihan, Brunei juga tidak terkecuali dari kerancuan migrasi.
Kata seseorang, berkunjung sehari, tuan barangkali boleh bercerita setiap inci kota. Berkunjung setahun, rupanya semakin tuan tak tahu apa-apa. Lalu, masih punya hak kah saya berceloteh panjang di sini?
Di hujung kembara, saya beli 2 poskad dengan latar masjid Omar Ali Saifuddien. Cara klasik yang masih saya gemari.
Untuk kau kawan;
1)Odysius yang sedang berjuang di Troy. Delivery report:{cancelled}
2)Arai ku yang tak bosan menjadi mimpi. Delivery report:{sent}
Alhamdulillah!
Read On 0 comments