Boikot dan US hegemoni (1)

Monday, January 26, 2009
firdaus temanku yang disumpah obsesi kucing itu masih gencar berkempen memboikot dolar US. Kelihatannya dia tak tertarik dengan idea boikot produk Amerika. Pemboikotan versi ini barangkali berhasil memberikan tekanan, tapi tak sampai merubah hal-hal besar, ideologi atau gagasan militari di bawah kempen 'anti-keganasan' tajaan Amerika itu. Gergasi-gergasi itu tetap tak berkutik dan oleh kerana itu kita harus beralih dan bersekongkol dengan idea Tun M kepada kuasa ekonomi terbesar, pemboikotan mata wang dunia;Dolar US.

Itu kata dia dan aku tertarik sekali.

Diakhir perang dunia kedua, telah diputuskan menerusi konferens Bretton Woods 1971 bahawa Amerika (dan hanya Amerika) yang punya autoriti memegang instrumen kewangan global. Waktu itu Richard Nixon mempertaruhkan ekonomi Amerika yang agak kukuh untuk meletakkan dolar US sebagai mata wang simpanan dunia (world's reserve currency). Dengan itu, mereka punya leluasa dalam hal mencetak wang kertas.

Ringkasnya, dolar US tak seperti mata wang negara-negara lain yang bergantung kepada jumlah nilai emas yang di simpan dalam bank dunia. Dolar US bergantung kepada "Supply & Demand". Semakin tinggi permintaan (transaksi dengan dolar US) maka semakin tinggi nilai dolar (dan semakin besar pula ia dicetak menerusi fiat).

Tiga tahun kemudian, Amerika(dengan segala kelicikannya) berjaya mempengaruhi Arab Saudi untuk membuat transaksi penjualan minyak menerusi Dolar US. Semua negara memerlukan minyak. Sesudah itu, yang seperti katanya Emmanuel Todd; dalam empayar ekonomi US berlakulah pengaliran kekayaan daripada luar, masuk ke dalam negara tanpa sebarang timbal balik. Amerika hanya perlu mencetak wang dan negara-negara dunia luar pun berebut-rebut menyimpan kewangan (monetary) dalam bentuk Dolar US untuk urusan eksport dan import.

Nah,sampai disitu untuk pembukaan. Kawan, dapatkah engkau menangkap apa yang cuba aku sampaikan?
Read On 1 comments

Logaritma Hidup

Tuesday, December 30, 2008

Hampir 2 abad dahulu, tanggal 28 Disember- Manusia Wilson Woodrow pernah lahir. Ia presiden Amerika yang ke 28, yang sepanjang hidupnya di abdikan kepada perjuangan mengangkat maruah rakyat Amerika menetang Jerman di hujung 1910an.
Tokoh besar sesudah Einstein, Sir Eddington yang penuh percaya diri itu juga lahir 28 Disember. Ketika lahir, dunia Barat sedang dalam kecamuk pergulatan kuasa sains dengan pihak gereja. Beliau muncul bak bintang Cheron, Sains terangkat setelah teori relativitinya menentu sahkan teori-teori Einstein.
Kelmarin di tahun 1980an, tarikh yang sama, ibu sedang sakarat berjuang melahirkan anak perempuan pertama. Di luar, kata Pa, jalan-jalan dipenuhi orang-orang yang sibuk berarak menyambut Maulidur Rasul. Lalu di celah-celah kemewahan nama-nama besar ini, aku lahir.
Sudah 26 tahun aku. Ini adalah angka-angka umur yang termasuk penting. Kononnya dalam kitar hidup, 26 tahun adalah keadaan ketika logaritma hidup yang seperti graf sinus itu mengalami zaman down slope. Kemerosotan.
Rasa-rasanya seperti sedang berdiri di suatu simpang. Di depan adalah jalan-jalan yang sulit di teka hujungnya, merah dan biru yang tak jelas, spekulatif tapi juga menjanjikan. Dan,ya Tuhan,Ia rahsia sekali. Di belakang pula adalah jalan yang sudah ku ulang-pijak selama 25 tahun, skematik, selamat dan boleh di ramal. Mahu apa sekarang?Maju melangkah dengan risiko dan menantang..atau kah menjungkir ke belakang, kekal berdiri dalam zon selamat dan bosan?
Tapi bukankah lebih baik gagal setelah mencuba daripada menang sebelum datang tantangan? Belum habis ku temukan falsafah sepanjang 25 tahun ini. Ada mozaik-mozaik hidup yang masih lompang dan tak sempurna. Barangkali dengan sedikit ketabahan, mozaik tadi boleh ku temui di daerah-daerah asing dalam salah satu cabang masa depanku.
Aku pandang langit. Wahai,Yang Di Atas!Apa yang telah Kau tata buatku di Luh Mahfuz sana? Woodrow, Eddington ataukah mati sebelum sempat berkarya? Lagi-lagi aku memikir soal pengakhiran yang manis.
Tapi kononnya hidup bukanlah berkejar tentang soal pengakhiran. Tuhan bukan mahu tahu sangat soal sad ending atau happy ending(terkecuali soal akidah). Justeru pada saat logaritma sedang turun naik itu lah, letaknya asas perkiraan Yang Di Atas. Sewaktu aku jatuh-bangun-terduduk-bangun lagi, di situlah ruang-ruang untuk mengutip falsafah-falsafah besar dalam hidup. Kalau begitu, kawan, doakan saja aku tabah.Ya?!
Read On 6 comments

Brunei, aku datang!

Tuesday, November 04, 2008




Sudah lama saya berhenti mempercayai angin. Tidak setelah sepotong hadis di awal sahih Muslim menasihati saya begini “Cukuplah seorang itu dianggap berdusta apabila bercerita setiap apa yang didengarnya.”

Dua, kerana saya khuatir terjerumus ke alam sangka-sangka.

Tetapi ketika saya terlontar di Brunei baru-baru ini, dan tahu-tahu sedang berdiri di depan sebuah istana aristokrat, yang dingin, sombong dan tak peduli, bersemayam bersama deretan rumah kuno yang tak terbandingkan di sekitar kawasan istana, dengan penjaga gerbang berwajah garang- siap untuk bersikap panglima, saya tahu angin bercerita jujur kali ini.
Tuan, baru kali ini saya menjadi saksi sebuah kemewahan.

Luasnya barangkali sepertiga kampungku nun di pedalaman Keningau. Bilik rehatnya menjejak ribuan, kamar mandinya ada ratusan, dan lamannya dihias dengan ratusan kereta mewah, sebutlah apa saja, dari Rolls Royce, Bentley, Mercedez Benz, Jaguar, Porsches, ..termasuk lah Bugatti impian kecil Daru Kurniawan ku. Dan ya Tuhan, ini cuma limpahan kecil dari nikmat yang membuak dalam negara ini.
Sayang sekali, saya tak minat dengan tokoh yang disembunyikan dalam istana itu. Dia yang meminjam raut Saddam Hussein tapi dengan peribadi yang sangat eksklusif, tubuh berciri khas Asia tapi punya selera tak kalah jauh dengan si hidung tinggi Mat Saleh. Dia, Hassanal Bolkiah-ketika kami kunjungi negaranya adalah manusia yang tak banyak beza dengan rangkaian kisah yang terpapar dalam wikipedia.
Negaranya kecil, bahkan sangat kecil seakan Kota Kinabalu yang telah dipotong sebahagian petanya; di bahagian Telipok, di bahagian Penampang, di bahagian Lok Kawi. Pun begitu, ia bukan alasan untuk aku menolak beramah-ramah di negara ini.
Bandar Seri Begawan punya sihir-sihir yang tersendiri. Menginjak tanah di sini, sama sejuknya seperti ketika tuan jalan-jalan di Kota Bharu, dan digoda nasi kerabu Tanah Merah. Ruang islamisasi mendorong setiap inci papan tulis di kedai-kedai, pasaraya, di penanda-penanda jalan bertulis dengan huruf jawi. Negara ini mewah sekali tuan. Rakyat dimanjai dengan subsidi. Dari minyak mentah, keperluan asas, kemudahan perubatan; saya melihat bekas tangan sosiologi yang teratur. Untuk seketika, orang-orang kecil seperti ku yang rajin menangguk subsidi ilmu senang dengan satu hal di sini, akses pendidikan diberikan percuma seperti halnya Jerman, Vietnam, Laos, Cuba dan komuniti Komunis lainnya.
Seperkara yang aneh, saya sulit untuk mencari wajah-wajah peribumi di sini. Merayap di Jerudong taman tema di sebelah tenggara itu, rasa-rasanya macam berjalan di Pasar Seni hari minggu. Kotaraya nya penuh dengan susuk kekar berkulit gelap dengan rambut grebo-grebo dan loghat pekat khas dari Tanah Jawa. Kasihan, Brunei juga tidak terkecuali dari kerancuan migrasi.
Kata seseorang, berkunjung sehari, tuan barangkali boleh bercerita setiap inci kota. Berkunjung setahun, rupanya semakin tuan tak tahu apa-apa. Lalu, masih punya hak kah saya berceloteh panjang di sini?
Di hujung kembara, saya beli 2 poskad dengan latar masjid Omar Ali Saifuddien. Cara klasik yang masih saya gemari.
Untuk kau kawan;
1)Odysius yang sedang berjuang di Troy. Delivery report:{cancelled}
2)Arai ku yang tak bosan menjadi mimpi. Delivery report:{sent}
Alhamdulillah!
Read On 0 comments

10.10

Friday, October 24, 2008
Jarang-jarang aku mahu mendengar pesan Jesus A.S tentang kasih dan sayang. Ku rasa antara banyak-banyak kekesalan ibu pernah menguncup fetus ku di celahan rahim nya, salah satunya adalah soal keengganan ku berpatisipasi dengan emosi; yang Jesus senang menyebut ‘CINTA’.
Tapi rupanya mereka terkecuali.

Gadis cantik dan terpelajar ini namanya Munirah. Menurut mata kekampunganku, wajahnya menyalin citra Choi Ji Woo (pelakon filem air mata Winter Sonata) dengan adunan melanin si jelitawan Tyra Banks itu. Ketika dia menghubungiku dari Manchester untuk misi sarjana Genetiknya, suaranya ceria bak bunga Seri Pagi disiram cahaya dinihari. “Sist, Kau akan suka dengan London.Datanglah ke sini, dan bawakan aku kasih sayang..”

Sehari sebelumnya, Shoukat menghambur-hambur duit menelefon ku dari Norway. Sejam setengah.Gila sekali. Lelaki dengan hati putih ini baru saja kehilangan kekasih, merajuk lalu menyerah diri kepada salji Norway. Seperti Hamid dengan rajuk Kaabahnya , mereka berdua sama saja.Pesimistik dan kalah berperang dengan taqdir. Lalu ku hibur dia dengan mitos jam 10.10. Kononnya tatkala seorang astrologist mengandai kematian Abraham Lincoln jatuh pukul 10.15, penduduk berpakat menghentikan jam menara besar di tengah kota Amerika itu pada pukul 10.10, mereka terdesak melawan qadar Abraham. Tapi takdir tentu saja tidak di tentukan dengan pusingan jam. Manusia fenomenal itu tetap saja mati,di tembak tepat pukul 10.15pm. Aku tak ingin apa-apa konklusi dari mitos ini, cukuplah bikin Shoukat tertawa dan berfikir panjang.
Sama ada Munirah mahupun Shoukat, biar mereka berpetualang di Negara asing dengan misi masing2, keduanya adalah bagian dari pembuktian falsafah persahabatan yang pernah ku hipotesis kan satu waktu dulu. Ia, aku dikenang jauh-jauh tanpa perlu alasan2 yang khusus. Rasanya menyenangkan. Tuan tahu,kerana 'alasan2' itu memenatkan. Jelas sekali,ia mengurangkan keikhlasan.

Sekarang ini, dalam rancu hidup dan dunia yang semakin kehilangan definisi bersahabat, bukan kepalang rasa terima kasih ku punya teman seperti mereka. Dengan manusia semacam ini, barulah pelan2 pesan Jesus singgah dalam kepalaku,dalam hatiku. Kawan-kawan,terima kasih.
Read On 0 comments

Karier vs Karya

Thursday, May 29, 2008

Kata pa, hidup bukan urusan mengisi perut sendiri saja. "kalau cuma itu, badak pun tahu” pa sambung lagi. Dan demi Allah, aku jadi terdesak untuk mengkreditkan lebih sedikit harga 'manusia' ku dari badak-badak gemuk tak berotak itu.
Dua isu jelas yang sempat kukutip dari Pa, adalah soal membangun 'karier' dan 'karya'. Suatu waktu ketika aku masih kecil, aku mimpi-mimpi membangun makmal peribadi sendiri, letaknya di bawah tanah, yang akses nya kedunia luar dihubung dengan sebuah lif rahsia. Di bawah itu aku lengkap-lengkapkan dengan teknologi; sebuah bank tisu, mikroskop elektron, freezer -80'c, peralatan bioinformatik, bilik radiasi dan segenap peralatan makmal lain. Tapi dewasa ini, setelah aku mulai berselera dengan variasi hidup, pelan-pelan mimpi itu aku singkir. Faktor masa, birokrasi sains yang sudah campur aduk dengan politik, tuntutan ketekunan yang maha tinggi, dan adanya kemungkinan melebur bagian-bagian bakat lain dalam quadrant otakku..duhh..aku bukan manusia virgo tuan! Sedangkan period itu aku barangkali sudah boleh membangun beberapa maahad tahfiz, membekal persenjataan kepada muslimin Hamas, atau barangkali memproduk kanak-kanak genius serupa Adi Putra.(mimpi termasuk hak peribadi kan?)

Aku tukar kemudi. Bung Rhoma menasihatiku begini, "usia muda adalah masa berapi-api". Mahu aku hentakkan kaki ku keras-keras, biar derapnya padu. Siapa tahu, yang seperti bisikan Goen, hentakku mungkin menggetar kaki-kaki lain disekilingku. Biar terserap sekali oleh mereka, semangat mudaku. Pertahanan sudah ku rapikan, tinggal lagi strategi serang balas. Pawn ku sudah sepatutnya maju selangkah, membuka ruang untuk Bishop membidik dengan jalur diagonal ke rook lawan. Knight yang tadinya membenteng permaisuri, harus sudah berani melompat dengan
gaya khas "L" kehadapan. Siapa tahu, strategi 2 dalam 1, menyergah raja sambil menyasar queen lawan di hujung letter L itu??
Dihujung-hujung alasan hidup ini adalah apabila kita bukan saja mampu hidup mandiri, tetapi juga 'menghidupkan' (err..tanpa maksud hubungan biologi yaa) orang lain. Barkarier untuk hidup dan berkarya demi menghidupkan yang lain. Iyakan?! Usah risau Pa, 5 ekor lembu, sama berat samalah juga harganya. Tapi aku insyaAllah adalah manusia, yang barangkali sama beratnya dengan 5 manusia lain, tetapi tetap tidak akan sama dari sudut nilainya. Aminkan!
Read On 1 comments

no title

Friday, May 02, 2008
Sedikit informasi. Daku telah menghapus jejak di UKM KL sebagai penyelidik, awal dari waktu perkiraanku. Pilihan sendiri tentunya. Aku fikir, berpencak di gelanggang luar adalah lebih leluasa, lebih membuana sifatnya. Entahlah kenapa, aku susah mahu kompromi dengan sistem-sistem buatan manusia ini. Barangkali ini sumpahan dalam genetik keluarga ku, abangku ada lima-4 orang bergraduasi sains dan seorang lulusan mesir,tapi toh semuanya masuk ke alam bisnes. Iya..semuanya menolak untuk masuk dalam sistem!
Masih merayap tanpa jaminan kerja yang pasti,toh..aku lapang.Sangat-sangat. Ada beberapa perancangan yang muluk-muluk hadir dalam kepala, tapi di sini aku keraskan hati supaya tak bermulut bocor. Kata orang, simpan yang terbaik untuk yang terakhir.He he..
Aku rindu dengan Odysiuss, sebab setelah ini barangkali aku harus berhenti memintal kafan untuknya, dan si Kurniawan biru yang aku temui dalam libang libu falsafah-fiqh, kapan bisa bicara lagi ya?
Teman-teman, Evy, Dee, sis Noor, Maesara, dan cinta-cinta lain yang tak tersebut,doakan aku kuat mengejar mimpi..
Read On 4 comments