Sang Penakluk Hati

Monday, September 14, 2009
Dia yg bernama lelaki
Lahir atas nama raja
Marahnya semarak lahar gunung
Tatkala senang bagai Jazirah bersimbah hujan
Ada apa dibalik alis tebal dan wajah teduh mu lelaki?

Lelaki lembut itu persis tak punya mau
Tapi setelah datangnya mau
Selat Melaka yang hempas menghempas
Pun berani ia terjah
Berbekal kain pelikat dan batik Jawa
Dipinggangnya tersisip semangat perwira
Selebihnya adalah peluh jantan dan
Kemahuan yg lebih besar dari tubuhnya
Mereka, lelaki sungguh aneh
Bahkan kersani pun tak berani
beradu kuat tatkala lelaki sudah memperketat tekad

Ohh..sudah pernah kuceritakan kepadamu
Tentang jalannya yg santun persis tak ada bunyi
Dan senyum sejuk membeku lahar Karakatao
Matanya tajam seakan menembus kulit
Rekahan giginya bak sumur mutiara
Dan wajahnya ya Tuhan..wajahnya
setenang tasik Baikal

Aku selalu hairan
Kuasa apa kah itu
Yang bersembunyi dibalik
Mata tajam dan pandangan sendu nya
Sang Penakluk ini rasanya memegang setiap inci fikiranku
Demikian kawan,
aku yg senang memanggung kepala dan berkeras-keras ini
Seperti keropok ikan disiram kuah kacang
Menyerah akur..

Dia lelaki tak banyak bicara
Tetapi aneh
Diamnya adalah jutaan bahasa
Seakan memegang rahsia para dewa
Disampingnya buat aku byk menilik diri
Apa mau Mu Tuhan mengirim lelaki ini
Masuk dalam hidupku,menyusup dalam hatiku?

Kemudian aku ingat
Sepurnama dulu sewaktu aku dibanting guruh
Dalam kering hati dan putus harap
Pernah kutulis untukMu
Siramlah kemarau dalam hati baja ku
Barangkali
Dalam diam Tuhan mendengar
Dia
Manusia dengan senyum malaikat mengambang sayap
Pelan-pelan cinta suci itu pun
Datang tanpa salam..
Ohh..rabbana ya sahilna
12/09/09
Ramadhan 21
Read On 0 comments

Sepasukan Garuda Jantan

Sunday, September 13, 2009
Dindaku yg baik,

Dengan sangat berat hati aku mohon izin menghapus 3 entry mu yg terakhir ini. Nanti kan ku pujuk moderator UCiyaya bikin satu blog khas (lagi) untuk team garuda. Atau barangkali sudah saatnya engkau menulis dikk..
-kakakmu selalu-
Read On 1 comments

Boikot dan US hegemoni...II

Monday, March 09, 2009
Aku akan selalu mengkagumi Saddam Hussein. Pedulilah dengan apa kata rakyatnya,yang oleh Saddam dibenam rasa 'jantan' pemuda-pemuda IRaq lewat kisah kuku besinya. Pedulilah dengan segala kata yang memojok putera-putera Saddam, Udai dan Kusai yang kononnya jauh dari pekerti luhur,padahal tanahnya pernah dibekasi pedang Amru bin Ash.
Saddam lelaki pemberani yang tak pernah goncang dengan telunjuk Amerika. Ketika Raja Abdullah masih bermanis-manis muka dengan Presiden Bush, Saddam berdiri, kukuh dengan kedua belah kaki dan peluh rakyatnya, menolak sebarang negosiasi dengan polis dunia itu.
Dan si pemberani itu dengan segala risiko yang bertumpuk menukar sejumlah 10B dollar simpanan dana Iraq ke mata wang euro diakhir 2000.
Sungguh ini keputusan yang berani dan kaya dengan absurditi. Menariknya, tindakan ini bukan berasbabkan pemulihan ekonomi. Ia agenda politik. Pemimpin ini mengatur buah caturnya lewat dolar amerika, bak menyorong Bishop masuk di ruang D7 lawan. Hampir dengan raja putih, menggoda permaisuri-memancing Rook.
Para analisis mulai berkomentar. Pro dan kontra. Rata-ratanya mengkritik, ku kira sama bahangnya seperti Erdogan yang membekas sejarah di Davos lewat cemuhan terbukanya terhadap Shimon Peres. Tapi sebagaimana layaknya sejarah-sejarah pemberani, di luar andaian para komentator, Saddam malah menaikkan profit negara sebaik sahaja Euro mulai mencapai kestabilan.Iran yang kaya dengan pakar ekonomi mencermati situasi ini, perlahan-lahan menjejak Saddam menukar hingga lebih separuh mata wang asingnya ke Euro.Korea Utara menyusul, dan Bush mulai lemas.
Raja putih itupun kelam kabut bangun dengan teori Pakatan Kejahatan. Persis 3 negara ini ditandai dalam pakatan itu. Ditambahnya Afghanistan, hanya sebagai pawn kecil untuk laluan membedil Iraq. Maka diciptakanlah perang di negara Anbiya' itu, di halakan roket ke Korea Utara, di hantarnya IAEA menjenguk tangki Uranium di Tehran.
Orang kecil seperti ku ini juga boleh membaca bagaimana beliau mengatur bidak catur, dan tidak sedikit emosi yang mengalir membendung perlakuan busuk ini. Kita memahami kegusaran Bush, sebab jelas militari tak akan kuat menampung empayar Amerika. Kekuatan ekonomi adalah paksinya.
Boikot adalah idea yang menarik.Malah sangat awam sekali. Milik rakyat,kuasa rakyat. Tapi seperti kata jaguh kecil Forex di rumahku, kecil margin yang dilabur,maka kecil jugalah profit yang diterima.
Rasionalnya, kebanyakan produk dengan jenama Amerika tidak dikilangkan di US. Pemboikotan ini barangkali mampu mengurangkan jumlah royalti barangan US di luar negara, tapi masih sangat kecil buat mempengaruhi keseluruhan kekuatan ekonomi negara itu.
Jadi,bukanlah Mc Donald atau Starbucks yang jadi kambing hitam. Ada daging panggang yang lebih enak di santap, DOLAR AMERIKA!
*sekuel sebelumnya pada bulan January 09.
Read On 4 comments

Fraktur Hidup

Friday, February 13, 2009
Bibirnya terherot-herot dan dengan susah payah salam kami dia jawab. Maxilla dan mandibula nya membengkak, matanya terperosok dalam. Tisu yang sudah lencun itu di sapu lagi dekat bibir, menampung air liur yang terus menerus mengalir turun tak mau henti.

Mereka baru saja terselamat dari satu kemalangan ngeri. Dilanggar kancil milik seorang remaja cina. Si suami, Iskandar yang tabah; rahangnya lari beberapa centi, jari manisnya putus urat, dan giginya bahagian atas seperempat terbang di radak muncung kancil. Suminah sendiri luka-luka di tangan dan kaki.


Sesungguhnya mereka adalah orang-orang sederhana dengan semangat hidup yang luar biasa.


Suami isteri itu datang dari negara seberang, ditinggalnya kampung halaman yang ramah tamah, cuba-cuba menyerah nasib kepada Sang Penentu nasib di bumi Malaysia ini.

Saban hari Iskandar menyambung hidup dengan menjaja ikan, di tumpuknya ke dalam tong lalu disendeng di atas pelana motosikal tua di kiri dan kanan. Dengan hanya mengenang lelah isteri dan mata jernih anak yang harus disekolahkan, semangatnya bangun, berkeliling pekan, tembus ke kampung-kampung menjaja ikan sambil dipayung terik mentari. Malamnya beliau isi dengan berkhidmat ke masyarakat, mengajar mengaji di kampung-kampung yang pernah ia singgahi meraih rezeki. Ayah mengenalnya atas usaha-usaha mulia ini.

Setelah musibah ini datang, harus bagaimana Suminah menopang semua urusan dunia ini? untuk pulang dan menjungkir kembali takdir-takdir lama adalah hal yang tak mungkin.(Atau barangkali seperti kata Ebiet G.Ade, kenangan merah jingga memaksa mereka bertahan di sini)

Kulihat Suminah memandang keluar. Dalam dan kosong.

Sesungguhnya hati saya ngilu. Suminah di sisi Iskandar yang sudah lumpuh bicara itu masih sedaya upaya berwajah manis. Mengeraskan hatinya sendiri. Matanya bersinar sambil menyangga semangat untuk sang suami yang mulai hilang daya hidup.Inilah tuan, manusia ini punya cinta yang sederhana tapi seusai tersimpul menjadi begitu agung.

Ketika kami beransur pulang, Suminah genggam tangan ibu. Sekilas itu saya tahu rasa terima kasihnya yang terurung di dalam hati. “Harus tabah. Ujian datang dengan hikmah. Kuatlah mbak!” Dia angguk-angguk.

Suminah pandang keluar lagi. Barangkali menunggu pagi datang. Menunggu kehidupan.

Read On 4 comments

Boikot dan US hegemoni (1)

Monday, January 26, 2009
firdaus temanku yang disumpah obsesi kucing itu masih gencar berkempen memboikot dolar US. Kelihatannya dia tak tertarik dengan idea boikot produk Amerika. Pemboikotan versi ini barangkali berhasil memberikan tekanan, tapi tak sampai merubah hal-hal besar, ideologi atau gagasan militari di bawah kempen 'anti-keganasan' tajaan Amerika itu. Gergasi-gergasi itu tetap tak berkutik dan oleh kerana itu kita harus beralih dan bersekongkol dengan idea Tun M kepada kuasa ekonomi terbesar, pemboikotan mata wang dunia;Dolar US.

Itu kata dia dan aku tertarik sekali.

Diakhir perang dunia kedua, telah diputuskan menerusi konferens Bretton Woods 1971 bahawa Amerika (dan hanya Amerika) yang punya autoriti memegang instrumen kewangan global. Waktu itu Richard Nixon mempertaruhkan ekonomi Amerika yang agak kukuh untuk meletakkan dolar US sebagai mata wang simpanan dunia (world's reserve currency). Dengan itu, mereka punya leluasa dalam hal mencetak wang kertas.

Ringkasnya, dolar US tak seperti mata wang negara-negara lain yang bergantung kepada jumlah nilai emas yang di simpan dalam bank dunia. Dolar US bergantung kepada "Supply & Demand". Semakin tinggi permintaan (transaksi dengan dolar US) maka semakin tinggi nilai dolar (dan semakin besar pula ia dicetak menerusi fiat).

Tiga tahun kemudian, Amerika(dengan segala kelicikannya) berjaya mempengaruhi Arab Saudi untuk membuat transaksi penjualan minyak menerusi Dolar US. Semua negara memerlukan minyak. Sesudah itu, yang seperti katanya Emmanuel Todd; dalam empayar ekonomi US berlakulah pengaliran kekayaan daripada luar, masuk ke dalam negara tanpa sebarang timbal balik. Amerika hanya perlu mencetak wang dan negara-negara dunia luar pun berebut-rebut menyimpan kewangan (monetary) dalam bentuk Dolar US untuk urusan eksport dan import.

Nah,sampai disitu untuk pembukaan. Kawan, dapatkah engkau menangkap apa yang cuba aku sampaikan?
Read On 1 comments

Logaritma Hidup

Tuesday, December 30, 2008

Hampir 2 abad dahulu, tanggal 28 Disember- Manusia Wilson Woodrow pernah lahir. Ia presiden Amerika yang ke 28, yang sepanjang hidupnya di abdikan kepada perjuangan mengangkat maruah rakyat Amerika menetang Jerman di hujung 1910an.
Tokoh besar sesudah Einstein, Sir Eddington yang penuh percaya diri itu juga lahir 28 Disember. Ketika lahir, dunia Barat sedang dalam kecamuk pergulatan kuasa sains dengan pihak gereja. Beliau muncul bak bintang Cheron, Sains terangkat setelah teori relativitinya menentu sahkan teori-teori Einstein.
Kelmarin di tahun 1980an, tarikh yang sama, ibu sedang sakarat berjuang melahirkan anak perempuan pertama. Di luar, kata Pa, jalan-jalan dipenuhi orang-orang yang sibuk berarak menyambut Maulidur Rasul. Lalu di celah-celah kemewahan nama-nama besar ini, aku lahir.
Sudah 26 tahun aku. Ini adalah angka-angka umur yang termasuk penting. Kononnya dalam kitar hidup, 26 tahun adalah keadaan ketika logaritma hidup yang seperti graf sinus itu mengalami zaman down slope. Kemerosotan.
Rasa-rasanya seperti sedang berdiri di suatu simpang. Di depan adalah jalan-jalan yang sulit di teka hujungnya, merah dan biru yang tak jelas, spekulatif tapi juga menjanjikan. Dan,ya Tuhan,Ia rahsia sekali. Di belakang pula adalah jalan yang sudah ku ulang-pijak selama 25 tahun, skematik, selamat dan boleh di ramal. Mahu apa sekarang?Maju melangkah dengan risiko dan menantang..atau kah menjungkir ke belakang, kekal berdiri dalam zon selamat dan bosan?
Tapi bukankah lebih baik gagal setelah mencuba daripada menang sebelum datang tantangan? Belum habis ku temukan falsafah sepanjang 25 tahun ini. Ada mozaik-mozaik hidup yang masih lompang dan tak sempurna. Barangkali dengan sedikit ketabahan, mozaik tadi boleh ku temui di daerah-daerah asing dalam salah satu cabang masa depanku.
Aku pandang langit. Wahai,Yang Di Atas!Apa yang telah Kau tata buatku di Luh Mahfuz sana? Woodrow, Eddington ataukah mati sebelum sempat berkarya? Lagi-lagi aku memikir soal pengakhiran yang manis.
Tapi kononnya hidup bukanlah berkejar tentang soal pengakhiran. Tuhan bukan mahu tahu sangat soal sad ending atau happy ending(terkecuali soal akidah). Justeru pada saat logaritma sedang turun naik itu lah, letaknya asas perkiraan Yang Di Atas. Sewaktu aku jatuh-bangun-terduduk-bangun lagi, di situlah ruang-ruang untuk mengutip falsafah-falsafah besar dalam hidup. Kalau begitu, kawan, doakan saja aku tabah.Ya?!
Read On 6 comments